Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin, cuma ada enam perkara yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan di dunia iaitu:

 

  • Makanan
  • Minuman
  • Syahwat
  • Pakaian
  • Wangian
  • Kenderaan

 

Disebabkan keenam-enam perkara inilah yang membuatkan manusia sering kealpaan dan sanggup bersusah payah semata-mata untuk memenuhi keinginan dalam kehidupan seharian mereka. Namun apabila diteliti secara halus keenam-enam perkara itu, dapatlah kita fahami mengapa dunia ini tiada nilainya di sisi Allah s.w.t

 

Makanan yang paling bagus adalah madu lebah, namun hakikatnya madu itu terjadi daripada air liur lebah.

 

Minuman yang terbaik adalah air kosong yang sebenarnya tiada sedikitpun keistimewaan padanya. Semua orang boleh meminumnya tidak kira orang islam mahupun orang kafir

 

Begitu juga dengan syahwat yang membuatkan manusia sanggup melanggar aturan dan hukum Allah s.w.t dan tergamak melakukan perbuatan dosa dan maksiat semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu yang datangnya ia dari tempat keluarnya kotoran dan najis.

 

Pakaian yang paling bagus pula ialah pakaian yang diperbuat daripada kain sutera, sedangkan asalnya benang sutera itu adalah daripada air liur sejenis ulat.

 

Wangian yang paling harum di dunia pula adalah kasturi, sedangkan kasturi itu datangnya dari peluh dan darah (najis) binatang iaitu kijang. Manakala kenderaan yang manusia sering gunakan itulah yang banyak meragut nyawa.

 

Bila dihayati akan hakikat dunia, maka barulah kita fahami betapa hinanya dunia di sisi Allah s.w.t. Dunia hanyalah sekadar medan peperangan manusia dengan nafsunya yang bertujuan untuk mengutip seberapa banyak markah sebagai bekalan di akhirat kelak.