Pada zaman Umar Ibnu Abdul aziz, ada orang ingin memberinya hadiah tetapi pemerintah islam itu menolaknya. Mengapa?

Malah mereka yang memberikan hadiah itu berkata: ” Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pun menerima hadiah.”

Lalu Umar Ibnu Abdul Aziz menjawab: “Hadiah pada zaman Rasulullah s.a.w adalah sebenar-benarnya hadiah, tetapi pada zaman ini hadiah sudah menjadi rasuah.”

Dalan satu lagi kisah lain, seorang amil bernama Ibnu al-Lutbiyyah dimarahi oleh Rasulullah s.a.w kerana sebaik pulang dari tugasnya mengutip zakat, dia membawa harta dan berkata: ” Ini untuk kamu, dan ini mereka hadiahkan kepadaku.”

Mendengar kata-kata Ibnu al-Lutbiyyah itu, Nabi s.a.w marah lantas bersabda: “Cuba kamu duduk di rumah ibu bapa kamu sambil menunggu, adakah kamu akan diberi hadiah atau tidak?”

Yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w adalah Ibnu al-Lutbiyyah tidak akan menerima hadiah tersebut kerana keperibadiannya, keakraban atau pertalian darah dengan orang yang akan memberikannya hadiah itu. Sebaliknya  dia mendapat hadiah itu kerana tugas dia sebagai amil dan Ibnu al-Lutbiyyah tidak berhak menerimanya.

Berpandukan daripada kisah-kisah ini, kita juga perlulah berhati-hati apabila diberikan hadiah. Tanyalah kepada diri berasaskan iman: Adakah ini mungkin dilarang syarak??