Badan terasa sungguh dingin. Aku terjaga dari lena. Tiba-tiba terdapat satu pusingan angin yang sangat kuat betul-betul di hadapan muka. Angin kuat itu seolah-olah menarik aku umpama puting beliung. Aku segera mengejutkan adik perempuanku yang tidur disebelah aku. Apabila dia terjaga, dia pun terkejut dan menjerit. Keadaan menjadi huru hara apabila aku dan adik masing-masing mahu melarikan diri dari ditarik angin tersebut. Dari dalam rumah sahaja sudah kedengaran suara jeritan manusia-manusia di luar rumah. Sungguh huru hara melihat ribuan manusia lari bertempiaran mahu menyelamatkan diri dari ribut tersebut.

 

Akhirnya, aku dan adik terpisah. Aku sendiri tidak tahu sebenarnya aku berada di mana. Tempatnya terlalu asing. Tempat yang gelap gelita. Yang ada hanya pekikan dan jeritan jutaan manusia. Ke semua manusia itu termasuk aku hanya mampu berlari menjauhkan diri dari di tarik oleh ribut tersebut. Suasananya amat kacau bilau. Amat menakutkan, amat mengerikan.

 

Pada saat itu, kesemua manusia yang ada berlari dalam satu kumpulan. Kumpulan yang ingin menjauhi ribut tersebut. Sedang kami berlari, dan terus berlari, tiba-tiba kami bertembung pula dengan sekumpulan manusia dari arah bertentangan kami. Juga tak terkira berapa ramainya kumpulan tersebut.

 

Kumpulan itu bukan melarikan diri daripada ribut tetapi melarikan diri dari ‘sesuatu mahluk’. Aku tidak pasti apakah mahluk itu dan aku tidak dapat melihatnya dengan jelas.  Dalam pertembungan tersebut, tiba-tiba keluar seorang perempuan bukan dari kumpulan aku mendekati ribut tersebut. Aku dan jutaan manusia lain teruskan berlari menjauhi ribut tersebut bergabung dengan kumpulan yang lagi satu itu. Seluruh manusia bergabung berlari menjauhi ribut dalam satu haluan yang sama.

 

Aku tidak tahu sesudah keadaan menjadi tenang, aku di datangi seorang lelaki yang sangat aku kenali iaitu ayah aku. Aku berpelukan sambil bersyukur kerana aku masih dapat bertemu dengan ahli keluarga aku yang pada masa itu ntah ke mana menghilang. Selang beberapa minit, aku berjumpa pula dengan adik dan kakak aku. Aku sangat berterima kasih kepada Allah kerana  mereka juga selamat dan mempertemukan kami. Tiba-tiba aku terdengar bunyi ringtone handphone aku dan membaca satu sms daripada ‘si dia’, “Mai ok tak?”. Ya Allah, Alhamdulillah, si dia juga selamat dalam peristiwa ngeri itu.

 

Bila tersedar, aku lihat emak aku sedang berdiri di hadapan dapur gas sedang menyediakan sarapan. Bila dilihat dinding, jam pula menunjukkan tepat jam 6 pagi-11/1/12. ” Ya Allah, rupanya aku bermimpi”. Sungguh ngeri Ya Allah mimpi yang kau berikan itu. Jauhkanlah aku, keluargaku dan seluruh umatmu daripada menghadapi keadaan huru hara seperti yang kau gambarkan dalam mimpiku tadi. Amin…

 

** Disebabkan mimpi ngeri itu, hati aku sangat gelisah dan tak tenang. Aku cuma berharap, aku tidak menempuh saat ngeri itu sekiranya mimpi itu adalah satu kenyataan. Aku tak pasti adakah itu petunjuk huru hara tiupan sangkakala ataupun sekadar mimpi biasa. Tetapi, aku dapat rasakan yang ia sebuah mimpi yang mungkin menjadi kenyataan. Sangat-sangat ngeri bila mendengar jeritan jutaan suara manusia yang ketakutan. Nauzubillah**