Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang iaitu :-

1. Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatima r.a)
3. Husin (anak Faimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, “Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w.

Kubur pun berkata, “Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab,  aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalannya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya).”

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1. Hendaklah ia menjaga solatnya
2. Hendaklah dia bersedekah
3. Hendaklah dia membaca al-Quran
4. Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan  memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-

1. Jangan berdusta
2. Jangan mengkhianat
3. Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4. Jangan kencing sambil berdiri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, “Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing.” 

Seseorang itu tidak akan terlepas dari segala macam siksaan  kubur, walaupun ia seorang alim ulama’ . Seksaan kubur juga tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya. kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hayatnya di dunia ini.

Walaupun terdapat hadis yang menyatakan:

Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri tetapi dalam keadaan dimana ianya boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya kencing secara duduk. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk. Berkemungkinan keadaan tempat pembuangan sampah tersebut yang kotor menjadi sebab Rasulullah s.a.w perlu kencing secara berdiri.

Bagaimana pula dengan keadaan kita pada zaman sekarang?. Kalau anda perasan, kebanyakkan tandas-tandas awam dan tandas-tandas di kompleks-kompleks membeli-belah, majoritinya menggalakkan kaum lelaki kencing dalam keadaan berdiri. Jadi, renung-renungkanlah dan selamat beramal!…

Advertisements