Ada seorang pemuda bernama Alqomah di masa Rasulullah s.a.w. Pemuda ini rajin beribadat dan banyak bersedekah. Tiba-tiba dia sakit dan amatlah berat sakit yang dihidapinya. Isterinya menyuruh orang memanggil Rasulullah s.a.w untuk menyatakan yang suaminya sedang sakit tenat dalam keadaan nazak sakaratul maut. Setelah orang itu memberitahu kepada Rasulullah, lalu baginda menyuruh Bilal, Ali, Salman dan Amar r.a pergi melihat Alqomah dirumahnya dan menyuruhnya mengucap Laa ilaha illallah.

 

Malangnya lidah Alqomah tidak mampu mengucap kalimah itu. Para sahabat sudah dapat merasakan yang  Alqomah pasti akan meninggal dunia dan mereka menyuruh supaya Bilal memberitahu hal tersebut kepada Rasulullah s.a.w.  Rasulullah bertanya: Apakah dia masih mempunyai ayah dan ibu? Jawab Bilal: Ayahnya telah meninggal dunia sedangkan ibunya masih hidup tetapi sudah terlalu tua.

 

Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal : “Ya Bilal pergilah kepada ibu Alqomah dan sampaikan salamku kepadanya, dan katakan kepadanya : Jika kau dapat berjalan pergilah kepada Rasulullah s.a.w dan jika tidak dapat maka Rasulullah akan datang ke sini. Jawab ibu Alqomah, “sayalah yang lebih layak pergi kepada Rasulullah s.a.w.”  Lalu dia mengambil tongkat dan berjalan hingga masuk ke rumah Nabi s.a.w. Sesudah memberi salam dia duduk di depan Nabi s.a.w .

 

Nabi s.a.w bertanya: Beritakan yang benar-benar kepadaku, jika kau dusta kepadaku nescaya akan turun wahyu memberitahu kepadaku. Bagaimana keadaan Alqomah? Jawabnya Alqomah rajin beribadat dan sembahyang, puasa dan sedekah dengan banyak sehingga tidak diketahui berapa banyaknya. Nabi s.a.w bertanya: Lalu bagaimana hubunganmu dengan dia? Jawabnya: Saya murka kepadanya. Ditanya: mengapa? Kerana dia mengutamakan isterinya lebih daripadaku, dan menurut kepada isterinya dan menentangku. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Murka ibunya, itulah yang mengunci (menutup) lidahnya untuk mengucap: Laa ilaha illallah.

 

Kemudian Nabi s.a.w menyuruh Bilal supaya mengumpulkan kayu dengan sebanyak-banyaknya untuk membakar Alqomah dengan api itu. Ibu Alqomah bertanya: Ya Rasulullah, tidaklah dapat hatiku menerima puteraku, buah hatiku akan kau bakar dengan api didepanku. Rasulullah s.a.w bersabda: Hai ibu Alqomah, siksa Allah lebih berat dan kekal. Oleh itu, jika kau ingin Allah mengampunkan dosa anakmu, maka relakanlah ia (kau harus redha kepadanya). Sesungguhnya tidak berguna dia sembahyang dan bersedekah sedangkan engkau murka kepadanya.

 

Lalu ibu Alqomah mengangkat kedua tangannya dan berkata: Ya Rasulullah, dengan bersaksikan Allah dan kau Ya Rasulullah dan sesiapa yang hadir ditempat ini bahawa aku telah redha pada Alqomah. Maka, Rasulullah pun menyuruh Bilal pergi melihat keadaan Alqomah samada dia sudah boleh mengucap Laa illaha illallah atau belum. Baginda khuatir jika ibu Alqomah mengucapkan kata-kata itu hanya kerana malu kepada Rasulullah dan bukanlah dengan seikhlas hatinya. Ketika Bilal sampai di pintu rumah Alqomah, tiba-tiba terdengar suara Alqomah mengucap Laa illaha illallah. Bilal masuk ke dalam rumah lalu berkata: Hai orang-orang, sesungguhnya murka ibu Alqomah itu yang telah menutup lidahnya sehingga tidak dapat mengucap kalimah syahadat dan dengan redha ibunya kini telah melepaskan lidahnya, maka matilah Alqomah pada hari itu.

 

Maka datanglah Nabi s.a.w dan menyuruh supaya segera dimandikan dan dikafankan, lalu disembahyangkan oleh Nabi s.a.w. Ketika di kubur, Nabi s.a.w berdiri di tepi kubur sambil berkata: Hai sahabat Muhajirin dan Ansar, siapa yang mengutamakan isterinya daripada ibunya maka ia terkena kutukan (laknat) Allah dan tidak diterima segala amalan fadhu dan sunnatnya.