Ali bin Abi Thalib r.a berkata: Tanda orang yang riya’ itu ada empat:

  1. Malas jika bersendirian.
  2. Tangkas jika di hadapan orang.
  3. Menambah amalnya bila dipuji.
  4. Mengurangi amalan jika dicela.

Syaqiq bin Ibrahim berkata: Benteng amal itu ada 3: Harus merasa bahawa itu adalah hidayah dan taufiq dari Allah s.w.t  untuk mematahkan rasa ujub (sombong diri), Harus niat untuk mendapat redha Allah demi mematahkan hawa nafsu, Harus mengharap pahala dari Allah s.w.t untuk menghilangkan rasa tamak, rakus dan riya’ dan amal ini ikhlas kerana Allah Taala.

Seorang hakim berkata: Seharusnya seorang yang beramal itu belajar adab dari pengembala kambing. Ketika ditanya: Bagaimanakah? Jawabnya: Pengembala kambing itu jika sembahyang ditengah-tengah kambing-kambingnya, tidak akan sekali-kali mengharapkan pujian dari kambing-kambingnya. Begitulah seseorang yang beramal tidak perlulah menghiraukan amalan itu dilihat orang ataupun tidak.

Seorang hakim berkata: Untuk keselamatan sesuatu amalan memerlukan 4 perkara penting iaitu:

  1. Ilmu pengetahuan. Sebab amal tanpa ilmu lebih banyak salahnya daripada benarnya (tepatnya).
  2. Niat. Sebab setiap amalan bergantung kepada niatnya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat dan tanggapan setiap orang juga bergantung kepada niat setiap amalan itu dilakukan.
  3. Sabar. Supaya dapat merasakan amal itu dengan baik dan sempurna.
  4. Tulus Ikhlas. Sebab setiap amalan tidak akan diterima oleh Allah jika tidak ikhlas.

Haram bin Hayyam berkata: Tiada seorang yang menghadap Allah dengan sepenuh hatinya melainkan Allah akan menghadapkan hati orang-orang yang beriman sehingga kasih dan sayang kepadanya.

Suhail bin Shalib dari ayahnya dari Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya bila Allah cinta kepada seseorang hamba maka Dia akan  berkata kepada Jibril: Sesungguhnya Aku kasih kepada fulan, maka kau kasih kepadanya, lalu Jibril berkata kepada semua penduduk langit: Sesunguhnya Tuhanmu kasih kepada si fulan, maka kamu harus kasih kepdanya, setelah dikasihi oleh ahli langit, maka disebarkan rasa kasih di atas bumi. Dan sebaliknya jika Allah murka (benci) pada seseorang hamba, demikian jugalah sebaliknya.

Syaqiq bin Ibrahim ditanya: Bagaimana dapat mengetahui bahawa saya seorang soleh sebab orang mengatakan bahawa saya seorang soleh? Jawab Syaqiq:

  1. Tunjukkan rahsiamu kepada orang-orang soleh dan jika mereka merelakan rahsia itu, itu bermakna kamu seorang yang soleh.
  2. Tawarkan dunia ini pada hatimu dan jika hatimu menolak itu bermakna kamu seorang yang soleh.
  3. Tawarkan maut kepada dirimu dan jika kau berani dan mengharapkan maut itu, bermakna kau seorang yang soleh.

Dan bila ada ketiga-tiga ada padamu, maka mintalah selalu kepada Allah dan jangan sampai memasukkan riya’ dalam semua amalanmu jika tidak mahu rosak amalanmu.