Perkenalan Leesa dan Farish yang sudah berusia hampir empat tahun, akhirnya direstui Illahi dan kini menanti detik sahaja untuk diijabkabul. Siapa menduga, peristiwa menjadi mangsa buli ketika di Café Bayu empat tahun lalu melakar sejarah indah antara mereka. Betul pepatah melayu ada menyatakan, jodoh itu tidak perlu dikejar, ia pasti akan datang dengan sendirinya bila saatnya sudah tiba.

 

Pada pertemuan itu, Farishlah hero di mata Leesa apabila Leesa diselamatkan oleh Farish daripada gangguan nakal pelajar-pelajar senior lelaki di universitinya. Kalau bukan kerana Farish, mungkin pada masa itu, habis semua makanan Leesa harus ‘disedekahkan’ kepada pembuli-pembuli senior tersebut. Leesa baru sahaja dua minggu secara rasminya menjadi pelajar Universiti Sains Malaysia. Tidak hairanlah jika dia menjadi mangsa buli dek kenakalan senior-seniornya.

 

“Terima kasih sebab tolong saya daripada ‘monyet-monyet’ tu semua td”. Ucap Leesa dengan nada penuh penghargaan.

 

 “Sama-sama dik. Adik, lain kali kalau nak beli makanan kat café ni bawalah teman. Jangan datang sorang-sorang sebab sini memang ‘port’ lepak senior-senior yang perangai macamtu. Adik pelajar baru ye? Selamat belajar di USM ye. By the way, errr  nama abang Farish. Just call me Abang Aish. Semester Tiga, Fakulti Sains Multimedia”. Farish perkenalkan dirinya.

 

“Saya Leesa, Leesa Ameera. Sama Fakulti dengan errrr… abang.” Jawab Leesa ringkas.

 

 Sejak dari peristiwa itu, Leesa dan Farish menjadi semakin rapat kerana secara kebetulan mereka belajar di fakulti yang sama. Mereka selalu berbincang tentang pelajaran bersama. Di mana ada Leesa, di situ ada Farish. Mereka berdua umpama belangkas. Tidak boleh berpisah. Farish dan Leesa juga antara pelajar yang cemerlang setiap kali peperiksaan dan merupakan penerima Anugerah Dekan. Cinta mereka menjadi tunggak kejayaan.

 

 “Terima kasih abang kerana sudi menjadi pelengkap hidup Leesa. Leesa hargai kesetiaan abang sepanjang empat tahun kita bersama. Leesa berjanji Leesa akan menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Leesa ingin menjadi bidadari syurga abang nanti. Leesa sayang abang sangat-sangat”.  Ungkapan tulus suci lahir dari bibir seorang gadis manja kepada bakal suaminya, Farish  Haiqal.

 

 Tinggal seminggu sahaja lagi, Leesa Ameera bakal melayari bahtera indah bersama tunangannya, Farish Haiqal. Walaupun letih menyediakan persiapan hari bahagianya, namun Leesa masih bertenaga dan bersemangat melayani karenah Farish menerusi telefon bimbitnya. Saat itu, jika bumi dilanda taufan sekalipun, tidak dihiraukan oleh Leesa. Baginya, tiada apa yang lebih bermakna melainkan Farish Haiqal.

 

 Merahnya warna inai di jari jemari Leesa umpama merahnya api cinta antara mereka.

 

Pesanan ringkas itulah yang di hantar oleh Leesa kepada Farish selepas malam berinainya. Farish yang begitu gembira dan bersyukur tentang jodohnya, bersemangat dan tidak sabar untuk bertemu dengan Leesa. Di dalam hatinya, tidak berhenti bertahmid mensyukuri nikmat Allah di atas kesucian hati bakal isterinya, Leesa Ameera.

 

 Kasih yang disemai akhirnya ditaburi dengan baja ikatan suci. Kini menunggu detik Farish melafazkan kalimah suci itu.

 

 “ Saya terima nikahnya Leesa Ameera Binti Affendi dengan mas kahwin empat puluh ringgit tunai”. Ucap Farish Haiqal dan Leesa kini sah menjadi suri Farish dengan sekali lafaz sahaja.

 

 “Sayang, abang nak hantar mama dan papa balik hotel. Malam kang mereka nak datang lagi tengok sayang. Jadi mama dan papa nak balik berehat dulu kat hotel. Sayang ikut sekalilah.” Ajak Farish sambil menggenggam erat tangan isteri kesayangannya.

 

 “Yes Bos!.” Jawab Leesa manja tanda setuju untuk mengikut suaminya menghantar keluarga mertua ke hotel.

 

 Dalam perjalanan ke hotel, kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori dari arah belakang. Kereta mereka berpusing dan memasuki ke jalan bersebelahan. Dengan sepantas kilat, sebuah proton Iswara yang melalui jalan tersebut tidak dapat memberhentikan kenderaan dan merempuh lagi sekali kereta mereka. Rempuhan sebanyak dua kali itu meremukkan keseluruhan kereta yang dinaiki mempelai tersebut.

 

 Farish dan juga Leesa berada dalam keadaan kritikal. Kedua ibubapa Farish tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia ditempat kejadian. Farish dan Leesa ditempatkan diruangan ICU. Keadaan Farish pada waktu itu separuh sedar manakala Leesa koma. Farish pada waktu itu hanya menginginkan katilnya dia ditempatkan disebelah Leesa. Dia hanya ingin menatap keadaan isteri kesayangannya di saat-saat kritikal itu. Doanya setiap saat hanya ditemani linangan air mata suci mengharapkan Leesa segera sedar daripada koma.

 

 “Leesa, bangun sayang. Abang rindukan suara Leesa. Abang ingin melihat senyuman Leesa. Abang lemah melihat Leesa kaku di sana. Bangun sayang!”. Luah Farish di dalam hati sambil bertemankan linangan air mata.

 

 “Abang!”. Tiba-tiba kedengaran suara Leesa.  Terkejut ibu dan bapa Leesa mendengar jeritan suara itu. Leesa terpinga-pinga melihat ibu dan ayahnya berada dalam esakan sungguh pilu.

 

 “Mak, ayah, Leesa mimpi Abang Farish. Mana abang Farish mak? Leesa di mana ni? Kenapa banyak wayar di badan Leesa? Leesa di hospital ke? Abang Farish mana?.”  Soal Leesa terburu-buru.

 

 “Alhamdulillah, Leesa dah sedar. Leesa, seminggu Farish temankan kamu di sini nak. Dia tidur disebelah katil kamu. Tidak pernah sedetik pun Farish mengalihkan pandangannya daripada memerhatikan kamu. Dah seminggu Leesa koma.” Jawab ibu Leesa dengan nada yang hiba sambil mengelap linangan air matanya.

 

 “Sekarang abang Farish kat mana mak? Leesa nak jumpa abang. Kenapa Leesa mimpi aneh sangat tentang abang. Abang tak ada ape-ape kan? Abang sihat je kan?.” Soal Leesa dengan nada yang cemas.

 

 Saat itu, ibunya tidak mampu lagi menahan sebak. Ibunya tidak mampu untuk menyatakan Farish sudah pergi buat selama-lamanya saat Leesa tersedar dari koma dan menjerit memanggil nama suaminya. Sedarnya Leesa, perginya Farish. Sungguh pilu dan hiba saat itu. Ibunya segera berlari ke luar meninggalkan Leesa. Hanya ayahnya sahaja yang masih kuat untuk menjelaskan  tentang pemergian Farish.

 

 “Leesa, ayah dan ibu masih ada untuk memberikan segala kasih sayang pada Leesa. Jangan Leesa bersedih andainya seseorang yang Leesa sayang pergi meninggalkan Leesa. Masih ada ramai lagi orang yang sayangkan Leesa. Jangan pula Leesa salahkan takdir andainya kebahagiaan yang Leesa peroleh akhirnya ditarik semula oleh Allah. Kita orang islam, perlu redha dengan segala ketentuan-Nya sayang.” Terketar-ketar suara ayah Leesa berbicara dengannya.

 

 “Kenapa ni ayah? Ayah cakap apa ni? Kenapa ibu berlari keluar tadi tanpa jawab soalan Leesa? Kenapa ni? Leesa tak faham. Abang Farish mana ayah? Leesa nak jumpa abang.” Leesa masih mengharapkan kedatangan Farish melihatnya di atas katil yang dipenuhi wayar itu.

 

 “Betul Leesa nak jumpa Farish?” Soal ayahnya.

 

 “Ye ayah, Leesa nak jumpa abang. Leesa kan dah jadi isteri dia. Sepatutnya dia ada saat Leesa tersedar kan ayah. Abang ni memang, kadang-kadang suka wat surprise pada Leesa. Ni entah apa lah yang abang buat agaknya”. Leesa bercakap dengan nada tenang.

 

 Dalam keadaan kurang bermaya, Leesa sedaya upaya bangkit dan duduk di atas kerusi roda. Ayahnya menolak kerusi roda tersebut membawa Leesa bertemu Farish. Langkahnya longlai ditemani air mata syahdu. Leesa pelik kenapa destinasi kereta roda yang dinaikinya itu menuju ke bilik mayat. Hatinya mula berdegup kencang. Air mata mula terbit di kelopak matanya. Diamati ramai saudara maranya di ruang menunggu jenazah. Air matanya kini sudah mula menitis setitis demi setitis. Lidahnya kelu tidak mampu berkata-kata. Hatinya hanya mengharapkan agar suaminya tidak berada di situ.

 

 Tiba-tiba dilihatnya seorang doktor sedang menolak keluar katil jenazah. Terdapat tubuh kaku diatasnya yang telah diselimuti kain putih, dan diamatinya betul-betul milik siapakah tubuh kaku tersebut.

 

 “Ya Allah, abang Farish!” Jerit Leesa sambil sedaya upaya bangun dari kerusi roda dan dia  terjatuh ke lantai. Ayahnya mengangkatnya dan membawanya mendekati tubuh suaminya yang sudah tidak bernyawa itu.

 

 “Abang! Kenapa abang pergi tinggalkan Leesa padahal seminggu Leesa koma abang masih mampu bertahan menjaga Leesa. Kenapa bila Leesa dah sedar abang pula yang tinggalkan Leesa?. Abang bangun! Leesa perlukan abang! Tolong jangan tinggalkan Leesa. Leesa isteri abang!”. Kedengaran sungguh kuat esak tangis Leesa. Suasana di situ menjadi bertambah sayu apabila kesemua ahli keluarga turut menangisi nasib Leesa.

 

 Jenazah Farish sudah siap dimandikan dan boleh dibawa pulang untuk dikafankan serta dikebumikan.

 

 Sampai sahaja di rumah, hati Leesa bertambah sayu melihat kesemua barang hantaran perkahwinannya disusun kemas di dalam bilik pengantin. Baju sandingnya di dalam almari juga masih berbau wangian kesukaan Farish. Diciumnya pakaian persandingan arwah Farish. Esakkannya mula kedengaran. Tiba-tiba dia terlihat sesuatu di dalam saku kecil baju tersebut. Terdapat nota daripada arwah suaminya yang tertinggal di dalam saku tersebut. Dengan tangan yang mula bergetar, Leesa membukanya.

 

 

Leesa tidak dapat menahan sebak lalu berlari keluar dari bilik dan memeluk erat tubuh arwah suaminya sambil diperhatikan saudara-mara yang sedang membaca Surah Yaasin disekeliling Arwah Farish.

 

 “Leesa sayang abang, Leesa berjanji akan menjadi bidadari abang di Syurga nanti. Abang tunggu Leesa yea!”. Ucap Leesa sambil jari jemarinya yang masih merah berinai menyapu air matanya. Itulah janji terakhir Leesa Ameera dihadapan arwah suami tercinta, Farish Haiqal.

 

Sepuluh tahun berlalu. Leesa menjalani sisa hidupnya tanpa ditemani suami tercinta. Kesetiaannya memang tiada tandingan. Dia telah mengotakan janjinya untuk menjadi bidadari syurga buat suaminya Farish Haiqal. Leesa kembali ke Rahmatullah disebabkan barah usus. Sepanjang sepuluh tahun kesetiaan itu, dan kini telah di balas. Semoga Leesa kini sudah menjadi bidadari suaminya di Syurga Abadi.

 

P/S: Cerita dan nama watak dalam posting ini tiada kene mengena dengan sesiapa samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Nukilan asal oleh jarijemari87.wordpress.com