Bukan mudah untuk memperoleh cinta yang diidamkan. Kadang-kadang, insan yang kita idamkan untuk menghiasi hari-hari  indah kita itu bukan ditakdirkan untuk kita. Ada pula kisah, insan yang menjadi teman berkelahi  itulah takdir pasangan hidup kita. Semuanya adalah ketentuan Yang Maha Esa. Oleh itu, kita sebagai manusia yang memegang pada prinsip rukun iman, hendaklah percaya dengan Qada’ dan Qadar-Nya.

“Bahagia itu milik kita, Alhamdulilah kerana cintaku diterima”. Acapkali itulah ungkapan syukur bagi insan yang sudah mengecapi  nikmat cinta.

Tetapi jangan kita berfikir bahawa “cinta” kita itu telah menjadi  100% hak mutlak kita. Ketahui, dia juga merupakan insan biasa. Seorang manusia yang mempunyai naluri, perasaan dan kehormatan yang perlu dihargai. Jangan dinafikan hak kebebasannya untuk merasai kehidupan normal seperti manusia lain. Apatahlagi, tiada sebarang bukti sah anda sudah terikat dengannya.

Apabila bermulanya sayang maka terbitnya cemburu.  Jangan jadikan cemburu itu pemerintah jiwa kita. Bila jiwa telah  diperintah oleh sifat cemburu, bererti  kita perlu memerintahkan pasangan kita mengikut arahan dan rentak hidup kita. Jangan disekat persahabatan pasangan kita dengan sahabatnya tetapi berkawanlah dengan semua sahabat  pasangan kita. Barulah akan berkurang rasa cemburu itu. Paling tidak sahabat pasangan kita itu mengetahui bahawa kini andalah pasangan hidupnya. Tidak perlu kita menyekat dan menghalang persahabatan akrab mereka semata-mata untuk mengisi kepuasan diri kita. Kelak, kita akan kehilangan cinta pasangan kita sedikit demi sedikit. Ketahuilah, setiap manusia tidak suka hak kebebasannya disekat.

Seekor kucing yang dikurung di dalam sangkar menjadi lebih garang daripada kucing yang hidup bebas. Kenapa? Kerana kita menjadikan jiwanya  kosong dalam menjalani sebuah kehidupan apabila hak kebebesannya disekat. Walau secantik mana pun ia, ia hanya cantik bagi tuannya yang memelihara. Tetapi di mata pandangan sahabat kucingnya yang lain, ia hanya seekor kucing lemah yang hanya menjadi kurungan tuannya. Mahukah anda menjadikan pasangan hidup anda seperti itu? Dipandang lemah diantara sahabat-sahabatnya kerana kongkongan hidup tatkala bersama anda?.  Kesannya, yang paling lemah dari sudut pandang sahabat-sahabatnya adalah kamu!.

Jangan kita terlalu yakin dengan hubungan berlandaskan  “sangkar”  cinta, kelak yang akan kita peroleh adalah  dustanya cinta bukan ikhlasnya cinta!.