Bila ditiupkan sahaja roh ketika kita dikelambu perut ibu, segalanya tentang perjalanan hidup termasuklah rezeki, umur dan jodohmu  telah disuratkan.  Usahlah gentar, risau serta taksub dengan apa yang kita miliki disaat ini. Di dalam kesemua ketentuan itu, hanya DOA sahaja yang boleh merubahnya.

Warna-warni kehidupan, walaupun diantara kita memang dipelbagaikan dengan pelbagai bangsa, keturunan, warna kulit, pangkat  serta darjat, ketahuilah, asal kita dari satu ‘balang’  yang sama. Di bawah satu acuan yang sama. Tuhan kita adalah sama. Kerana sebagai umat Islam, Tuhan kita hanyalah Allah. Allah lah yang menjadikan dan mematikan kesemua mahluk di bumi ini dan kita wajib mempercayainya.

Jangan kita angkuh dengan kekayaan yang kita miliki,

Jangan kita bangga diri dengan rupa paras diri,

Jangan kita merasa rendah diri dan menyalahkan takdir Illahi,

Sekiranya apa yang dihajati, tidak dipenuhi.

Kita berada di dalam satu ‘balang’ yang sama. Kita menghirup udara yang sama. Seandainya suatu hari ‘balang’ ini musnah ditiup sangkakala, kita semua akan mati dengan cara yang sama.  Disaat ‘balang’ ini musnah dan hancur berkecai bertaburanlah segala ‘isi-isi’ di dalamnya. Terpisahlah kita semua membawa segala amalan masing-masing menemui-Nya.

Sebelum ‘balang’ yang kita kongsi ini musnah dan menghapuskan semua diantara kita, marilah kita sama-sama bersatu padu menjadi  ‘isi’ yang terbaik.

Bantulah ‘isi’ yang miskin wahai sikaya,

Kasihilah ‘isi’ yang tua wahai simuda,

Lindungilah ‘isi’yang kecil wahai situa,

Kerana yang kecil, tua, muda, kaya semuanya ciptaan-Nya.