Pada suatu masa, Khalifah Umar bin Khattab menemui Nabi Muhammad S.A.W untuk memberitahu mengenai suatu hal yang berlaku di kampungnya. Selepas Khalifah Umar bin Khattab dipelawa duduk, beliau pun bercerita.

“Di kampung saya ada seorang pemuda yang terlalu baik berbanding dengan orang lain”

“Apakah kebaikan yang khalifah maksudkan itu?” bertanya Nabi Muhammad S.A.W ingin tahu.

Khalifah Umar menjawab, “dia rajin beribadat, tidak kira siang mahupun malam”.

Nabi Muhammad bertanya lagi, ” Jika siang dan malam dia beribadat, bilakah masanya dia makan?”.

” Dia hanya makan sebentar dan selepas itu dia menyambung semula mengerjakan ibadatnya. Begitulah keadaannya setiap hari,” jawab Khalifah Umar.

Nabi Muhammad S.A.W terdiam seketika dan berasa hairan. Kemudian baginda bertanya lagi, “Adakah dia berpakaian seperti orang lain?”.

Khalifah Umar berasa hairan dengan pertanyaan itu lalu menjawab, “Sudah tentu dia berpakaian dan tidak mungkin dia beribadat dalam keadaan tidak sempurna.”

“Jika begitu, siapa yang memberinya pakaian dan makanan? sudah tentu dia tidak ada masa untuk menukar pakaian dan menyediakan makanan kerana terlalu asyik beribadat.”

” Dia mengharapkan orang kampung memberikan makanan dan pakaian kepadanya”. Jawab Khalifah Umar bin Khattab.

Nabi Muhammad S.A.W mengangguk faham. Baginda tersenyum sambil membuat kesimpulan, “Jika begitu, lelaki itu tidaklah baik. Orang kampung adalah lebih baik daripadanya kerana mereka yang memberikan pakaian dan makanan kepada dia sedangkan dia tidak memberikan apa-apa kepada orang kampung.”

“Jika begitu, apakah yang perlu kita lakukan bagi membantu dia?” Khalifah Umar meminta pendapat Rasulullah S.A.W.

” Minta dia bertaubat. Akujuga beribadat seperti pemuda itu. Namun, ada masanya kita perlu mencari rezeki untuk diri sendiri dan tidak perlu menyusahkan orang lain. Apabila tiba masa untuk beribadat, beribadatlah dengan bersungguh-sungguh. Allah tidak meminta manusia beribadat sepanjang masa sehingga melupakan perkara-perkara lain,” beritahu Nabi Muhammad S.A.W kepada Khalifah Umar Al-Khattab.

Kemudian, Khalifah Umar bin Khattab menemui pemuda itu dan menasihatinya. Akhirnya, pemuda itu bertaubat dan mula keluar mencari rezeki disamping terus beribadat.

“Itu adalah lebih baik kerana Allah lebih suka umat yang berusaha dengan titik peluhnya sendiri disamping pada waktu yang sama terus beribadat dan mendekatkan diri dengan-Nya,” nasihat Khalifah Umar bin Khattab kepada pemuda tersebut.