Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana diberikan umur yang panjang dan aku masih lagi diberi peluang untuk meraikan Ramadhan pada tahun ini. Begitu juga anda yang sedang membaca tulisan ini, bersyukurlah kerana anda diberi nikmat hidup. Setiap nafas yang kita sedut dan kita hembus, segalanya pemberian Allah yang tidak mampu kita bayangkan betapa hebat kekuasaan-Nya.

 

Ramadhan-bukan hanya sekadar nama, tetapi mengertilah akan ertinya dan kelebihannya. Suatu bulan yang mendidik diri kita untuk mengawal segala macam hawa nafsu. Bulan yang memperuntukkan kita beramal ibadat dengan penuh tekun dan sabar. Bermula dengan bersahur, sehinggalah berbuka puasa dan disambung lagi sehingga kita bertarawikh.

 

Disamping diberi keistimewaan mengecap dan mencari malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang penuh keberkatan berbanding seribu bulan. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha mendapatkannya ketika Ramadhan ini.

 

Ramadhan, kurangkan pembaziran dan banyakkan bersedekah. Suatu bulan yang kaya dengan kemunculan pelbagai jenis hidangan, lauk pauk, kuih muih. Bulan yang dikurniakan Allah S.W.T kepada manusia untuk menambahkan sumber rezeki melalui perniagaan di bazar-bazar Ramadhan dan sebagainya. Kepada peniaga, sekiranya setelah hampir waktu berbuka, tetapi jualan kamu masih banyak tidak terjual, eloklah disedekahkan jualan itu. Pahala sedekah itu lebih mulia di sisi Allah dan itulah bekalan untuk kamu di akhirat kelak. Setelah berkumandang azan Maghrib, bersegeralah kamu berbuka  dan bersegeralah menunaikan Solat Maghrib. Walau sebesarmanapun keuntungan perniagaan anda sepanjang bulan Ramadhan ini,  tetapi apalah ertinya sekiranya Solat Mahgrib pun diabaikan.

 

Kepada para pembeli, berbelanjalah dengan berhemah. Kadang-kadang,  nafsu untuk membeli pelbagai juadah memang mengatasi akal fikiran. Kesannya, setelah berbuka masih banyak juadah yang dibeli itu tidak habis dimakan. Bukankan pembaziran itu merupakan salah satu amalan syaitan?.  Lihat, bagaimana nafsu kita itu akhirnya berjaya menjejak amalan syaitan walhal telah dinyatakan pada bulan Ramadhan ini semua iblis dan syaitan dirantai dan manusia dilindungi daripada hasutan Iblis dan Syaitan. Oleh itu, kawallah hawa nafsu anda dan elakkan daripada membazir.

 

Janganlah kita berbuka sehingga terlalu kenyang, akibatnya kita akan bermalasan untuk menunaikan Solat Maghrib dan Tarawikh. Bersederhanalah ketika berbuka, sambunglah semula makan setelah menunaikan Solat Fardhu dan Tarawikh. Ikutlah sunah Rasulullah S.A.W dengan nikmat berbuka dimulai dengan kurma dan segelas Air sahaja. Begitulah seharusnya amalan seharian kita, dimana buah-buahan serta manisan itu perlu dimakan terlebih dahulu daripada nasi. Bukan seperti segelintir masyarakat yang menganggap pencuci mulut (Buah-buahan & Manisan)  itu perlu dimakan selepas selesai menghabiskan sepinggan nasi. Tujuan buahan dan manisan ini perlu dimakan dahulu adalah sebagai langkah terbaik dalam penjagaan usus anda yang seharian tidak diisi dengan sebarang makanan. Segala sunnah Rasulullah pastinya membawa kebaikan kepada umatnya.

 

 Ramadhan yang dinanti, semoga kita semua berusaha mengejar keberkatan Illahi.

 

Peliharalah tutur kata dan percakapan anda sepanjang berpuasa, jangan sakiti hati insan lain melalui percakapan dan kata-kata anda. Jika tidak, puasa anda hanyalah suatu amalan yang menjadikan anda lapar dan dahaga sahaja dan tidak lebih daripada itu.

 

 

Doa Berpuasa

 

Doa Berbuka Puasa