Umpama menatang minyak yang penuh. Minyak  tidak tertumpah, lalu ditatangnya dengan penuh hati-hati dan cermat. Walaupun kelelahan yang teramat sangat namun, itulah sebenarnya tanggungjawab mereka. Itulah yang dilakukan oleh ibubapa kita semasa menjaga kita sewaktu dari kecil lagi dan sehinggalah kita dewasa, malah sehingga kita sudah mempunyai anak-anak.

 

Bagaimanakah pula rasanya kita yang kini sudah dewasa dan melayan karenah ibubapa kita yang sudah tua, uzur justeru sifatnya juga berubah menjadi seperti kanak-kanak. Adakah kesabaran kita itu sama tandingnya dengan kesabaran mereka? Tepuk dada, bermonologlah di dalam diri anda sekalian.

 

Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak dan kasih sayangnya sangat adil kepada kesemua anak-anaknya. Seorang bapa, boleh menghabiskan segala harta yang dimiliki untuk membesarkan sepuluh orang anak-anaknya. Tetapi mampukah kesepuluh orang anak itu memberikan kasih sayang, perhatian serta harta benda yang dimilikinya itu kepada kedua orang tua mereka?.

 

Mengimbas kembali kenangan semasa di Rumah Kebajikan Seri Kenangan, Cheng. Sungguh indah namanya, tetapi adakah indah juga dimata hati ini?

 

Terhentinya perjalanan seorang nenek tua bertemankan tongkat usang, lalu menyapa aku yang sedang duduk termenung melepaskan sedikit ketakutan selepas ditemuduga.

 

“Kejap lagi anak aku nak datang amek aku”, katanya.

“Oh ye ke makcik?, berapa orang anak makcik? keje apa?”. Tanpa berlengah, aku melayan  teguran orang tua itu.

“4 orang anak aku, diaorang sumer sibuk bekerja. Pakai kete sumer besar-besar. Aku bangga dengan diorang semua”. Jawabnya.

“Beruntungnya makcik, semua anak-anak berjaya”. Jawab aku terus.

 

Tiba-tiba, datang seorang staff dari Rumah Kebajikan itu lalu berbisik ditelingaku, “Dik, jangan layan sangat orang tua ni, dia ni ada masalah sikit”.

“Masalah apa encik? Saya tengok okey je”. Soal aku semula.

“Ada sedikit gangguan mental dik”. Jelasnya lagi.

 

Kemudian, dengan segera staff tersebut membawa makcik tersebut beredar meninggalkan aku. Mungkin membawanya untuk makan tengahari.

 

Aku termenung seketika, sambil di dalam hati terbit rasa sayu dan hiba. Jika benar seperti yang dikatakan orang tua itu, anak-anaknya semua berjaya, memiliki kereta mewah, tetapi mengapa sanggup mereka memenjarakan makcik tersebut di rumah tersebut.

 

Itulah hati seorang anak. Mungkin bagi mereka menjaga ibu bapa yang sudah uzur itu satu bebanan bagi mereka. Mengapa tidak pernah agaknya terlintas di fikiran mereka bahawa suatu ketika dahulu, sewaktu mereka masih kecil, ibu mereka tidak langsung terasa terbeban membesarkan mereka sehingga berjaya.

 

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, Maha Adil. Sedarlah umat manusia semua, setiap apa jua yang kita lakukan, tidak kira baik mahupun buruk, segalanya ada ganjaran dan balasan dari-Nya. Dunia ini hanya pinjaman dan satu medan pertarungan untuk manusia memperoleh Syurga atau Neraka.

 

 Seharusnya kita bersyukur jika diberi umur yang panjang dan masih lagi dapat menatap wajah ibubapa kita. Di situlah Allah menginginkan kita  menjaga dan membalas jasa kedua ibubapa kita. Di situlah juga ada pahala syurga untuk kita. Bayangkan, terdapat sesetengah insan yang sudah kematian ibubapa mereka sejak mereka kecil, atau sesetangah insan yang sudah pergi dahulu meninggalkan kedua orang tuanya, pasti mereka ini tidak dapat merasai dugaan dan cabaran seperti kita yang masih mempunyai kedua orang tua.

 

Oleh itu, carilah di mana kedua ibu bapa anda sekarang. Telefon mereka, dengarkanlah suara mereka, tataplah wajah mereka kerana ada pahala bila anda menatap wajah ibu bapa anda, sentuhlah kulit mereka yang masih hangat.  Selagi anda masih berkesempatan untuk melakukannya, maka lakukanlah dan janganlah bertangguh lagi.