Pelbagai cerita, pelbagai ragam, pelbagai usaha yang dilakukan oleh kesemua parti politik. Usaha menjatuhkan pihak lawan, mengaibkan pihak lawan, menunjukkan betapa hebatnya permainan ahli  politik negara kita.

Kita sebagai rakyat hanya melihat, mendengar dan kadang-kadang mentertawakan sahaja lakonan-lakonan mereka. Kadang-kadang terfikir seketika, apa gunanya pertelingkahan, permusuhan sesama pemimpin? Bukankah matlamat mereka semua sama, iaitu membela nasib rakyat, menjaga keamanan negara, memajukan ekonomi negara. Bukankan kesemua parti yang bertanding mempunyai matlamat yang sama. Jadi mengapa perlu mengaibkan sesama pemimpin.

Atau terdapat kepentingan sendiri di dalam diri para pemimpin untuk memenangi kerusi bertanding?. Mungkin inilah sebenarnya matlamat mereka untuk merebut kemenangan dalam PRU.

 

 Siapakah pemimpin yang boleh membela nasib rakyat? Dimanakah beliau? Sedangkan sekarang rakyat sudah mula muak dengan penindasan pemimpin-pemimpin yang dulunya dianggap boleh membela nasib rakyat. Ternyata undi yang rakyat pilih pada suatu ketika dahulu  tersasar jauh. Bagaikan menyiram air ke daun keladi. Tiada sebarang perubahan. Rakyat tetap dihimpit kesusahan.Yang kaya menjadi bertambah kaya sedangkan yang miskin kekal ditakuk lama.

Kalau seorang jutawan boleh membela nasib 10 orang miskin, mungkin negara kita tiada langsung rakyat miskin atau rakyat termiskin. Negara kita yang kaya dengan hasil bumi, tetapi mengapa para pemimpin yang bijaksana tidak dapat menggunakan anugerah itu dalam membela nasib rakyat dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara. Apa yang dilakukan adalah membuat urusniaga ‘gila’ yang akhirnya rakyat juga yang terpaksa menanggung bebannya.

 

Apabila rakyat terasa terbeban dengan segala macam karenah para pemimpin yang dahulunya diagung-agungkan, terimalah hakikat yang suatu hari nanti rakyat jugalah yang akan menjatuhkan kamu. Rakyat memerhati, menilai dan sebenarnya memberikan markah untuk tahap kepimpinan para pemimpin. Oleh itu, janganlah gentar untuk menghadapi PRU nanti.