SYAM’UN AL GHAZI , seorang pahlawan Bani Israel yang telah berjuang memerangi musuh-musuh Islam selama 1000 bulan lamanya. Musuhnya telah cuba berbagai-bagai kaedah untuk menghapuskannya. Malang sekali rancangan mereka sering menemui kegagalan.

 

Syam’un mempunyai senjata yang merbahaya buat pihak musuh. Senjata tersebut sangat berkesan dan telah berjaya membunuh beribu nyawa musuh. Ia diperbuat dari rahang unta yang kering. Apabila dahaga akan keluar air jernih yang bersih. Manakala ketika lapar akan keluar daging yang cukup untuk dimakannya dari tulang tersebut.

 

Oleh kerana kegagalan demi kegagalan dihadapi oleh pihak musuh, mereka telah cuba memperalatkan isteri Syam’un sendiri. Isteri Syam’un masih belum beriman. Dia disogokkan dengan harta yang banyak jika mampu menyerahkan suaminya sendiri hidup-hidup kepada mereka. Setelah persetujuan dicapai, pihak musuh membekalkan kepadanya peralatan untuk memerangkap Syam’un.

 

Pada malam tersebut isteri Syam’un melaksanakan tugasnya. Setelah suaminya tidur, kaki dan tangan suaminya diikat. Namun apabila terjaga, Syam’un dengan mudah mengungkaikan ikatan tersebut.

 

“Siapa yang ikat aku?” Tanya Syam’un.

 

“Aku saja hendak menguji kekuatan engkau,” jawab isterinya menyembunyikan hasrat sebenar.

 

Keesokan malamnya isteri Syam’un mengulangi perbuatannya. Kaki dan tangan suaminya diikat dengan kuat dan tali yang lebih kukuh.Namun itu pun masih boleh diungkai dengan mudah oleh suaminya.

 

” Wahai isteri yang aku kasihi, sebenarnya Allah telah memberi iaku kelebihan. Tak ada seorang pun di dunia ini yang boleh menandingi aku kecuali rambut ini,” kata Syam’un sambil menunjukkan rambutnya yang panjang dan lebat.

 

Isteri Syam’un tidak melepaskan peluang ini. Dia menunggu suaminya tidur dengan nyenyak. Apabila tiba waktu yang sesuai, rambut suaminya digunting dengan berhati-hati. Rambut tersebut dipintal menjadi lapan utas. Empat utas untuk diikat tangan manakala empat lagi untuk kakinya.

 

Apabila Syam’un terjaga dari tidurnya, dia tidak berdaya memutuskan ikatan tersebut. Tanpa berlengah lagi isteri Syam’un memanggil musuh suaminya untuk dibawa ke tempat sembelihan. Di sanalah pihak musuh mencungkil mata, memotong tangan, kaki, telinga serta lidah Syam’un sambil mengelilinginya. “Ya Allah, berilah aku kekuatan menggoncang rumah ini,” mohon Syam’un kepada Allah.

 

Allah perkenankan doa Syam’un hingga runtuh rumah tersebut dan jatuh menimpa musuh-musuh Allah itu. Allah selamatkan Syam’un dan isteri Syam’un terkorban bersama-sama pihak musuh. Setelah peristiwa ini, Syam’un menambahkan lagi ibadahnya selama 1000 bulan. Dia bersolat di malam hari dan berpuasa di siang hari.

 

 

Itulah kisah benar bagaimana tergamaknya seorang isteri mengkhianati suami semata-mata mengejar harta. Pada zaman sekarang, pelbagai ‘ telenovela’ di dada akhbar al-kisah cerai-berai yang kadang-kadang puncanya seolah-olah tidak boleh diterima akal. Paling menjijikkan, berpisah dengan suami dek penangan ‘warga asing’. Sedarlah wahai wanita di luar sana, yang menjadi teman kita di syurga nanti adalah suami hakiki kita. Setialah kepadanya dan berterima kasihlah kepadanya kerana melaluinya kita semua dapat mengecap nikmat syurga.