Tiada apa yang diperlukan oleh seorang wanita daripada seorang lelaki melainkan perlindungan daripada mereka. Bukanlah kecantikan rupa parasmu, bukanlah kegagahan tubuh fizikalmu, bukanlah kemegahan pangkat serta jawatanmu.

 

Mengapa wanita memerlukan ‘perlindungan’ daripada lelaki?

 

Sifat melindungi itu sudah melengkapkan dan menggambarkan satu ungkapan yang sempurna tentang seseorang lelaki. Daripada sifat itulah lahirlah sifat-sifat mahmudah yang lain seperti bertanggungjawab dan penyayang. Apabila lelaki boleh menjadi pelindung kepada isteri, maka secara automatiknya, anak-anak juga turut merasai diri mereka dilindungi. Jadi lahirlah sebuah keluarga yang sakinah.

 

Mengapa Rasulullah S.A.W mempunyai ramai isteri? Antara tujuannya adalah untuk melindungi kaum wanita daripada dianiaya. Kebanyakkan isteri yang dinikahinya itu adalah dari kalangan janda dan juga menjadi mangsa tawanan perang. Jadi melindungi itu juga merupakan salah satu sifat rasulullah S.A.W. Bukankah kita semua perlu mengikut serta mencontohi sifat-sifat mulia baginda.

 

Ayuh kaum adam sekalian. Lindungilah kaum wanita di luar sana yang semakin hari semakin jauh tersesat. Kamu merupakan seorang pemimpin yang telah dijadikan oleh Allah S.W.T untuk memimpin serta melindungi kaum wanita. Sedarkanlah mereka mengenai aurat. Nasihatilah mereka mengenai batas-batas pergaulan. Zikirkanlah ke dalam hati mereka tentang kewajipan sebenar mereka sebagai seorang wanita, isteri dan ibu. Lindungilah kaum wanita ini daripada melakukan pelbagai kemungkaran. Capailah tangan mereka ini, tariklah mereka daripada terjerumus ke lembah kejahilan. Sesungguhnya Adam diciptakan Allah untuk mengisi syurga-Nya bersama-sama Hawa. Oleh itu, bawalah kaum Hawa ini untuk menikmati keindahan syurga-Nya itu bersamamu melalui sifatmu yang satu itu….’pelindung’.