Ada seorang ustaz yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat,suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang, puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap meninggalkannya.Sebaliknya perkara kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya.

 

Kaki judi, kaki botol, dan seribu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya. Suatu hari ustaz tadi memanggil anaknya dan berkata, “Mat, kau ni terlalu lalai dan sentiasa membuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu paku ditiang  halaman rumah kita. Setiap kali kau membuat satu kejahatan,maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini. Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan kucabut keluar dari tiang ini.”

 

Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku ke tiang tersebut. Kadang-kadang sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang sekali dia mencabut keluar paku dari tiang.

 

Hari bersilih ganti, bulan berganti bulan, dari musim ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar.Tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada yang berkarat dek kerana hujan dan panas.

 

Setelah melihat keadaan tiang yang dihias dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu. Maka dia pun berazamlah untuk memperbaiki dirinya. Mulai saat itu, Mat mula sembahyang. Hari itu saja lima butir paku dicabut ayahnya dari tiang. Besoknya sembahyang lagi ditambah dengan sunat-sunatnya.Lebih banyak lagi paku tercabut. Hari berikutnya Mat tinggalkan perbuatan maksiat yang dilakukannya. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari, semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggal, hingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang tinggal melekat di tiang.

 

Maka ayahnya pun memanggil anaknya dan berkata: “Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah kamu gembira?” Mat merenung pada tiang tersebut dan dia mula menangis teresak-esak. “Kenapa anakku?” tanya ayahnya, “aku menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada.”Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, “Wahai ayahku, sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada,tapi aku bersedih parut – parut lubang dari paku itu tetap kekal ditiang, bersama dengan karatnya.”

 

==========================================================

 

Moral of The Sory:

 

Dengan dosa-dosa dan kemungkaran yang seringkali diulangi sehinggakan menjadi suatu kebiasaan, kita mungkin boleh mengatasinya, atau secara beransur-ansur menghapuskannya, tapi ingatlah bahawa parut-parutnya akan kekal.

 

Oleh itu, bila kita menyedari diri ini melakukan suatu kemungkaran,ataupun sedang diambang pintu kemaksiatan, maka berhentilah serta-merta. Kerana setiap kali kita bergelumang dalam kemungkaran, maka kita telah membenamkan sebatang paku  yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita dan keluarga. Parut itu juga menjadi bahan umpatan insan-insan yang tidak bertanggungjawab.

 

============================================================