Latest Entries »

Semoga Kamu Kuat!

11 Julai 2013, 2 Ramadhan 1434H. 6.55 pagi Melaka, Malaysia..

 

Hujan renyai, diselubungi dingin angin.

Terasa segar, aman di Subuh Hari.

Tetapi di dalam hati berbisik sendiri,

Apa khabarmu di sana wahai para mujahidin dan mujahidah?

 

Apakah menu sahur mu? apakah pula menu ifthar mu wahai saudara saudariku?

Dari kejauhan, aku memohon daripada Allah-Tuhan sekalian alam,

Semoga segala keperitan, kesusahan dan tangisan darah keluargamu, 

Di balas dengan kemenangan jihadmu semua..

 

Walaupun aku jauh, tidak berada di tempatmu,

Hanya melihat keadaanmu melalui alam maya,

Tetapi, kamu kurasa sentiasa hampir denganku.

 

Bersabarlah mengharungi peperangan ini wahai saudara-saudariku,

Allah telah memilihmu,

Kerana kamu semua adalah insan-insan yang kuat.

Semoga kekuatan itu menjadi sumber kemenangan dan kebangkitan suatu hari nanti.

 

Salam Ramadhan buatmu, wahai umat Islam Syria, Mesir, Palestine, Somalia.

Image

 

Setiap manusia dilahirkan untuk diuji keihklasan dan kekuatan iman mereka. Jangan sesekali kita mengatakan orang lain itu kehidupannya lebih baik berbanding dengan kehidupan kita. Ada orang yang hidupnya susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi Allah kurniakan kasih sayang sesama ahli keluarga mereka. Ada orang hidupnya mewah, tetapi pasti ada yang dikurangkan oleh Allah sebagai ujian baginya. Kehidupan kita di dunia ini sebenarnya ujian untuk meletakkan dimana kedudukan kita diakhirat kelak.

 

Pernah suatu ketika, saat berputus asa itu sampai sehinggakan takdir disalahkan. Betapa berdosanya kita menyalahkan takdir dan kehendak yang Maha Esa. Tetapi seandainya kita bersabar dan ikhlas menerima ujian itu, sudah pasti ganjaran pahala itu memenuhi buku amal kita. Oleh itu, beringatlah sentiasa bahawa memang setiap manusia dilahirkan untuk diuji dan sentiasalah berfikiran positif, katakan pada diri “Ujian ini adalah sebagai pahala yang ingin Allah berikan pada aku”.Oleh itu, bersyukurlah kerana Allah masih ingin menguji kamu dan menginginkan kamu sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepada-Nya.

 

La tahzan inallaha ma’ana,

 

Salimul Aqidah, Sahihul ‘Ibadah, Matinul Khuluq wa Qadirun A’la Kasbi. (Akidah yang sejahtera, Ibadah yang betul, Akhlak yang mantap dan Mampu berdikari).

Insyaallah, Sinar itu pasti akan tiba jua…

Bila dilihat majlis perkahwinan orang yang meriah & besar, mulalah terfikir banyak ke duit hantaran yang diterima oleh pengantin perempuan ni? Ni kalau xdapat RM35,000 toksah citerlah nak wat majlis macam ni.. Yelah, belanja majlis kahwen je gedebak-gedebuk dah habis RM15,000 kan. Zaman skang mana ada jual bawang sekilo 1sen mcm zaman dulu-dulu. Pas kahwen pulak, nak sewa rumah lain. Nak kena persiapkan keperluan asas rumah- TV, Set Bilik, Mesin Basuh, Meja Makan, Sofa, periuk belanga, dan macam-macam lagi.. Belanja beli barang-barang ni sumer je dah habis RM15000 kan.

Citer plak pasal majlis kahwen saya kelak…. urrmmmmmm…..(Sambil berangan)

Takmau bebankan pihak lelaki a.k.a bakal suami saya. Kalau dia awal-awal lagi dah terbeban, berdosa besar rasanya pada dia.. Cukuplah hanya sekadar majlis nikah sahaja.. Itulah yang diwajibkan pun dalam islam. Yang penting ada cincin kahwin dan mas kahwen… Selepas nikah, sedikit jamuan dan kenduri doa selamat. Belanja catering En Suami yang tanggung 100%. Family saya tak payah susah-susah pikir nak beli lembu sekor brapa, cari org masaklah…bla bla bla….. membaziak!..

Pas nikah selesai sudah majlis kahwen saya nanti..(berangan jap)……….

Dengan duit hantaran RM15,000.. 2 bulan sebelum kahwen dah cari umah sewa dengan bayaran deposit 3bulan :::: anggaran RM 1400.00.. (Untuk negeri melaka)..Sume keperluan rumah seperti yg disebutkan kat perenggan pertama tu td dr brg elekrik sampailah ke perabot rumah sampailah ke periuk belangan bla bla bla…Semuanya dah disumbatkan dalam rumah sewa.. Semua tu anggaran RM12,000. Beli cash takmau hutang-hutang.. Kesian kat en suami nak tanggung hutang kan..

So, bermulalah kehidupan saya nanti dgn en suami sbg suami isteri tanpa berhutang…  Kesimpulannya, duit ribu-ribu yg org ramai slalu gunakan utk majlis kawen yg dibelanjakan kat mak andam: RM2000.00, kat Photographer: RM 2000.00, kat Balai or sewa Dewan : RM2000.00, Kad Jemputan: RM 1000.00 dan lain-lain……… Saya habiskan beli keperluan rumah……..  Toksah buang duit pada perkara yang xsepatutnya semata-mata nak dipandang ‘gah’ oleh orang lain.. Sebab kita dan en suami yang akan menjalani kehidupan seterusnya…betul x betul x???

Sekian… Allahuma Yaasir Wala Tu’asir…….. aminn..

( Mood: Tak Sabar Nak Kahwen )

 

Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin, cuma ada enam perkara yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan di dunia iaitu:

 

  • Makanan
  • Minuman
  • Syahwat
  • Pakaian
  • Wangian
  • Kenderaan

 

Disebabkan keenam-enam perkara inilah yang membuatkan manusia sering kealpaan dan sanggup bersusah payah semata-mata untuk memenuhi keinginan dalam kehidupan seharian mereka. Namun apabila diteliti secara halus keenam-enam perkara itu, dapatlah kita fahami mengapa dunia ini tiada nilainya di sisi Allah s.w.t

 

Makanan yang paling bagus adalah madu lebah, namun hakikatnya madu itu terjadi daripada air liur lebah.

 

Minuman yang terbaik adalah air kosong yang sebenarnya tiada sedikitpun keistimewaan padanya. Semua orang boleh meminumnya tidak kira orang islam mahupun orang kafir

 

Begitu juga dengan syahwat yang membuatkan manusia sanggup melanggar aturan dan hukum Allah s.w.t dan tergamak melakukan perbuatan dosa dan maksiat semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu yang datangnya ia dari tempat keluarnya kotoran dan najis.

 

Pakaian yang paling bagus pula ialah pakaian yang diperbuat daripada kain sutera, sedangkan asalnya benang sutera itu adalah daripada air liur sejenis ulat.

 

Wangian yang paling harum di dunia pula adalah kasturi, sedangkan kasturi itu datangnya dari peluh dan darah (najis) binatang iaitu kijang. Manakala kenderaan yang manusia sering gunakan itulah yang banyak meragut nyawa.

 

Bila dihayati akan hakikat dunia, maka barulah kita fahami betapa hinanya dunia di sisi Allah s.w.t. Dunia hanyalah sekadar medan peperangan manusia dengan nafsunya yang bertujuan untuk mengutip seberapa banyak markah sebagai bekalan di akhirat kelak.

Pada zaman Umar Ibnu Abdul aziz, ada orang ingin memberinya hadiah tetapi pemerintah islam itu menolaknya. Mengapa?

Malah mereka yang memberikan hadiah itu berkata: ” Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pun menerima hadiah.”

Lalu Umar Ibnu Abdul Aziz menjawab: “Hadiah pada zaman Rasulullah s.a.w adalah sebenar-benarnya hadiah, tetapi pada zaman ini hadiah sudah menjadi rasuah.”

Dalan satu lagi kisah lain, seorang amil bernama Ibnu al-Lutbiyyah dimarahi oleh Rasulullah s.a.w kerana sebaik pulang dari tugasnya mengutip zakat, dia membawa harta dan berkata: ” Ini untuk kamu, dan ini mereka hadiahkan kepadaku.”

Mendengar kata-kata Ibnu al-Lutbiyyah itu, Nabi s.a.w marah lantas bersabda: “Cuba kamu duduk di rumah ibu bapa kamu sambil menunggu, adakah kamu akan diberi hadiah atau tidak?”

Yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w adalah Ibnu al-Lutbiyyah tidak akan menerima hadiah tersebut kerana keperibadiannya, keakraban atau pertalian darah dengan orang yang akan memberikannya hadiah itu. Sebaliknya  dia mendapat hadiah itu kerana tugas dia sebagai amil dan Ibnu al-Lutbiyyah tidak berhak menerimanya.

Berpandukan daripada kisah-kisah ini, kita juga perlulah berhati-hati apabila diberikan hadiah. Tanyalah kepada diri berasaskan iman: Adakah ini mungkin dilarang syarak??

Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.

Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.

Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.

Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah! 

Sekiranya saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.

Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.

Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah!  Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.

Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi.  Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula  pergi.  Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.

Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan.

Tidak cukup dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama Rasulullah, kehilangan  pula puteri-puteri kesayangannya Zainab, Ruqayyah dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah. Kematian demi kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang berjuang. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!  

Ya, saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada selain-Nya. Hanya bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji dengan kematian suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah. Mari kita hayati dan mengambil ibrah dari setiap episod kematian yang telah dilaluinya.

Jika kita kematian ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu. Hinggalah di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil  pergi, ketika Siti Aishah, Fatimah, Ali dan lain-lain saudara serta sahabatnya berada di sisi, baginda sudah bersedia, mehnah Allah sudah sampai ke kemuncak… baginda pula yang akan pergi.  

Baginda sangat mencintai semua yang bakal ditinggalkan, tetapi baginda lebih cinta kepada Allah yang bakal ditemuinya. Lalu mulut baginda hanya mengucapkan, “rafiqil a’la. rafiqil a’la… teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi (Allah). ” Ya, baginda sudah pasrah meninggalkan cinta daerah rendah… untuk terbang ke syurgawi, menemui cintanya di daerah tinggi!

Kepada isteri-isteri yang kehilangan suami, dan mereka yang kehilangan orang tersayang, atau kita yang bakal kehilangan…yang menziarahi blog ini untuk mendapat sedikit cicipan ketenangan, aku yang daif ini cuma mampu menghadiahkan satu tulisan yang telah ku muatkan dalam bukuku ‘DI MANA DIA DI HATIKU” – tajuknya:

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU… 

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..

Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.

Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!

Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.

Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.  

Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”

Dalam “kamus” kehidupan  para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa. 

Namun begitu,  di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan ditinggalkannya.

Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan  oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:

“Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”

Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”

Genta Rasa

Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.

Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.

Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.

Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan…

View original post 1,722 more words

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914). Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Kadi Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat hati dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Kadi Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu” (Al-Baqarah:216)

Pertukaran Hidup Salahuddin

Apabila Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa selepas sahaja Salahuddin menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Kadi Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Semangat Jihadnya

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Kadi Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.

Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihad melawan tentera salib, ia akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya. Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelusuk tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Kadi Bahauddin, 1234)

Peperangan Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembasar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahawa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat atasnya”. Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi”.

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad. Kadi Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelamatkan kamu”. Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Kadi Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.

Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki bandra suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit. Dalam catatan Kadi Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-prang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.

Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa mengidar bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M, keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak menggoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Wafatnya Salahuddin

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, “Memang benar”. Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara’

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan. Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan.
Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendegarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh Suhrawady yang membawa ajaran sesat.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat. Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawanya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak”. Bila hampis subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”

Aku menjawab, “Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan
“Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku.
Kini aku mohon pertolongan-Mu.
Aku menyerahkan diriku kepada-Mu.
Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”

Aku mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi”

Perangai Salahuddin

Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Sauatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak adilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, “Cakap sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan. Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan dirinya”.

Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit kuat yang mengebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan peninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.

Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata Bahauddin, “Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam”.

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betama beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perakara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketiak peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suati hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai”.

Salahuddin sebagai ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengeatahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur’an

Rujukan:

Kadi Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H. Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31, 32-33, 7,155

Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99

Rasulullah S.A.W. mengajar sahabat-sahabatnya perkara-perkara yang berhubung dengan agama. Mereka adalah orang yang baik penerimaannya, halus fahamannya, benar, jujur dan ikhlas. Dari itu maka segala percakapan dan perbuatan mereka boleh diterima dan dibuat pedoman. Rasulullah membenarkan mereka berijtihad, sekiranya tidak ada nas atau hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith. Dengan syarat tidak terkeluar dari prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan agama yang telah ditetapkan.

Kebenaran dan Permulaan Ijtihad

Rasulullah telah mengutuskan sahabatnya yang bernama Muaz Bin Jabal ke negeri Yaman sebagai pendakwah, juga sebagai kadi. Sebelum pemergiannya, Rasulullah telah menemuduganya dengan sabdanya :

Wahai Muaz, bagaimanakah engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?” Jawab Muaz ,”Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati di dalam kitab Al-Quran.” Tanya Rasulullah lagi; “Jika tidak ada hukuman dalam Al-Quran?” Kata Muaz; “Aku akan hukum dengan sunnah Rasulullah(Al-Hadith). “Rasulullah bersabda lagi : “Jika sekiranya tidak ada dalam hadith?”, Jawabnya; “Aku akan berijtihad.” Kemudian Rasulullah S.A.W. menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda : “Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah (Muaz) dengan perkara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya.”
(Riwayat Imam Ahmad & Tirmidzi)

 

Inilah pengakuan Rasulullah mengenai ijtihad.

Mengenai penerimaan Tuhan dengan hasil ijtihad, jelas dalam sabdanya yang bermaksud:

“Barangsiapa berijtihad dan betul ijtihad maka ia memperolehi dua pahala. Dan barangsiapa berijtihad dan salah ijtihadnya, maka ia dapat satu pahalanya sahaja”.

 

Perlunya Kepada Ijtihad

Manakala kehidupan manusia semakin hari semakin luas dan bercabang-cabang, dan manusia sendiri bertambah-tambah ramai dari semasa ke semasa, maka bidang ilmu fiqh dengan sendirinya menjadi luas, kehidupan orang-orang Islam semakin maju. Ajaran-ajaran Islam telah tersebar luas ke seluruh dunia. Maka banyaklah peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang berlaku, sedangkan nas-nas hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith nabi ada masa dan batas-batasnya. Tetapi peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian tetap berkembang dengan luasnya tanpa berhenti-henti. Justeru itu maka tidak dapat tidak, perlu adanya perbincangan hukum dan ijtihad.

 

Di Zaman Khulafa Ar-Rasyiddin

Di zaman khulafa Ar-Rasyiddin telah zahir perkara-perkara perumpamaan ijtihad. Di antara mereka yang telah terkemuka dalam konteks ini, ialah Saidina Umar Al-Khattab, dan masa inilah bidang ilmu fiqh telah menonjol beberapa langkah maju ke hadapan.

Tiap-tiap sahabat nabi mengambil kesimpulan dari Al-Quran dan hadith sekadar yang mereka dapat, dan memberitahu kepada orang lain pendapat-pendapat mereka. Dari itu perjalanan ilmu fiqh terus maju kehadapan lagi.

Di antara sahabat-sahabat nabi yang berijtihad di Madinah : Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali, Abdullah Bin Umar, Zaid Bin Tsabit, Ubai Bin Kaab, Abu Musa As-Asyari dan lain-lain. Sementara di Mekah pula : Abdullah Bin Abbas. Di Kufah : Abdullah Bin Utbah. Di Mesir : Abdullah Bin Umar Al-Aash dan lain-lain.

Ilmu fiqh di kalangan sahabat dan tabiin tidak beku dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi juga mengambil kira tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab-sebab (ilat) masa hendak menghukum atau memberi fatwa.

 

Perundangan Terus Berkembang :

Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. ada mempunyai ramai murid-murid yang belajar dari mereka. Murid-murid itu digelar tabiin kerana mereka tidak sempat bertemu dengan Rasulullah, tetapi cuma berjumpa dengan sahabat-sahabat nabi sahaja, mereka mengikut ajaran-ajaran Rasulullah dan jalan-jalan sahabat nabi. Apa yang jelas bahawasanya perpindahan tabiin ke seluruh negeri dan bandar-bandar pada masa itu menyebabkan ramai menghadapi bermacam-macam peristiwa dan kejadian yang belum dilalui oleh sahabat-sahabat sebelumnya. Maka sudah menjadi kewajipan kepada mereka mencari, membahas dan mengkaji hukum-hukum untuk menghadapi peristiwa itu. Maka dengan itu bertambah luaslah lagi bidang ilmu fiqh.

Patut disebut bahawa ilmu fiqh sahabat-sahabat para tabiin tidak beku dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi ia mengambil kira sama tentang hukum-hukum untuk menimbang akan sebab-sebab (ilat) masa hendak menghukum itu atau untuk memberi fatwa. Sebagaimana yang jelas diketahui, bahawa pendapat mereka bermacam-macam dan berlainan. Ini disebabkan berlainan tempat dan kedudukan negeri masing-masing. Disamping berlebih kurang tentang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith nabi. Oleh demikian terhasilah berlainan pendapat di antara satu dengan yang lain maka inilah yang dinamakan mazhab.

Di antara tabiin yang berijtihad diwaktu itu ialah : Said Al-Musayyab dan Abdullah bin Umar di Madinah. Yahya bin Said, Rabiah bin Abdul Rahman, Atha bin Rabah di Mekah. Hassan Al-Basri di Basrah, Thowas bin Kasan di Yaman, Makhul di Syam.

 

Di Zaman Umar bin Abdul Aziz.

Pada tahun 100 Hijrah di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, beliau telah menghantar ulama dan fuqaha ke seluruh negera. Selanjutnya kerajaan Bani Umayyah telah hilang, timbul pula kerajaan bani Abasiyah, disamping itu timbul pula pertelingkahan di antara orang-orang Alawiyyin dengan orang-orang Abasiyyin. Dan pertelingkahan di antara Syiah dan Khawarij. Turut berlaku pada masa itu penyambungan di antara pemikiran orang Arab dan Yunani (Grik Tua), iaitu sebagai natijah dari terjemahan dan pemindahan ilmu pengetahuan. Di masa itu juga mula disusun sunnah-sunnah nabi, fatwa-fatwa dan pendapat ulama. Dan ilmu fiqh di waktu itu telah masyhur ke seluruh pelusuk negeri dan ramailah orang yang mengikutnya dan beramal dengannya, sebagai natijahnya terdirilah beberapa golongan atau pengikut fuqaha.

Di zaman inilah nama imam-imam empat serangkai telah muncul dan temasyhur. Mereka adalah diumpamakan bulan purnama yang dikelilingi oleh bintang-bintang yang berselerak di sekelilingnya.

 

AL-IJMA DAN AL-QIYAS.

Al-Quran dan Al-Hadith adalah sumber asasi bagi ilmu fiqh Islam, yang mana pada permulaannya ialah di zaman Rasulullah SAW sumber-sumber ini bertambah mengikut peredaran masa dan bidang luas ilmu fiqh.

Selain daripada Al-Quran dan Al-Hadis ialah pendapat Rasulullah SAW yang sama dinamakan ijma. Maksud dengan ijma ialah persetujuan atau permuafakatan ulama di atas satu perkara atau hukum yang tidak ada nas dari Al-Quran dan Al-Hadith pada satu-satu masa.

Di sana terdapat juga “Al-Qiyas” kerana bahawasanya hukum syara pada gholibnya mempunyai beberapa ilah atau sebab-sebab yang boleh diketahui, apabila terdapat hukum yang dinaskan, maka bolehlah dipindahkan hukum itu kepada perkara yang tidak ada nas jika terdapat sama ilahnya. Seperti wajib zakat pada padi adalah diqiyaskan daripada gandum, kerana terdapat sama pada ilatnya, iaitu mengeyangkan dan tahan disimpan.

Maka dapat dibuat kesimpulan, bahawasanya Al-Quran, Al-Hadis, Al-Ijma dan Al-Qiyas merupakan sumber-sumber hukum yang terus hidup subur dan menjadi perbendaharaan yang besar yang membuka luas pintu-pintu bidang ilmu fiqh Islam, ia menambah perbendaharaan, kekuatan dalam hukum-hukum Islam.

 

MAZHAB-MAZHAB YANG MUKTABAR DALAM ISLAM.

Sebenarnya mazhab-mazhab dalam Islam adalah banyak, kerana ulama-ulama yang bekemampuan terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi, para tabiin dan tabi Al-Tabiin yang mempunyai cukup syarat-syarat dan keperluan berijtihad adalah ramai, tetapi mengikut pendapat ulama, bahawasanya mazhab yang muktabar yang boleh dibuat pendapat dan beramal untuk umum cuma empat mazhab sahaja, mengikut qaul yang rajih. Iaitu : Mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali kerana keempat-empat mazhab ini ada mempunyai peraturan-peraturan, kaedah-kaedah dan panduan-panduan yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam kitab-kitab mereka. Yang mana menjadi bahan-bahan yang tak ternilai dalam perbendaharaan undan-undang Islam. Adapun mazhab-mazhab yang lain, maka tidak ada mempunyai kaedah-kaedah yang cukup yang dibukukan untuk dijadikan panduan dalam bidang perundangan sebagaimana yang empat tadi.

Ada juga mazhab-mazhab yang lain lagi selain daripada mazhab yang empat, tetapi tidaklah begitu terkenal dan lengkap dan tidak mempunyai kaedah-kaedah usul-usul yang dibukukan.

MAZHAB HANAFI

Adalah diasaskan oleh Nu`man Bin Tsabit. Lahir pada tahun 80 Hijrah. Beliau adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak tinggi. Juga beliau seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan. Cekap memberikan satu-satu keputusan bagi masalah-masalah atau problem yang dihadapi. Oleh kerana beliau seorang yang berpengetahuan, bijak dan berakhlak mulia, maka beliau dapat membuat perhubungan yang rapat dengan pembesar negara. Ia mendapat tempat yang baik dalam masyarakat dan berjaya menyandang jawatan yang tinggi dalam pemerintahan.

Iman Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di negeri Iraq. Dan beliau juga sebagai ketua ahli fikir (ahli ra`yu). Golongan cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai “akal dalam ilmu pengetahuan”.

Semasa hidupnya, beliau dapat menuruti bermacam-macam pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan, baik di bidang ilmu dan politik mahupun ilmu agama. Zaman beliau memang dikenali sebagai zaman pertumbuhan politik, agama dan ideologi-ideologi dan ism-ism yang bermacam-macam. Beliau dapat hidup dalam dua zaman pemerintahan Umaiyah dan juga di zaman pemerintahan `Abasiyah.

Sesungguhnya Abu Hanifah seorang yang luas pemikiran dan banyak ilmu. Tetapi beliau sangat merendah diri. Beliau tidak terpedaya dengan fikirannya sendiri. Dan beliau pernah berkata “Bahawasanya pendapat kami adalah salah satu dari pendapat dan jika didapati pendapat yang lebih baik dan tepat maka pendapat itu lebih benar dan utama”.

Abu Hanifah seorang yang berperibadi tinggi dalam majlis perbahasan. Beliau tidak sekali-kali menghina mereka yang berbahas dengan mereka. Mereka tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang berbahas dengannya, kerana beliau berpendapat : “Sesiapa yang mengkafirkan seseorang maka ia terlebih dahulu kafir dari orang itu.”

 

MAZHAB MALIKI

Pengasas mazhab Maliki ialah Malik Bin Anas, lahirnya di kota Madinah dalam tahun 93 hijrah. Beliau dilahirkan 13 tahun selepas lahirnya Iman Abu Hanifah. Semasa hidupnya, Iman Malik dapat menurut dua corak pemerintahan : Umaiyah dan Abasiyah, di mana perlingkahan sengit dua pemerintahan sering terjadi. Di masa itu juga pengaruh ilmu pengetahuan Arab, Parsi dan Hindi tumbuh dengan suburnya dikalangan masyarakat di waktu itu.

Iman Malik menghafaz Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Ingatannya sangat kuat dan menjadi adat kepadanya. Manakala beliau mendengar hadith-hadith daripada guru-guru, terus disimpulkan tali bagi menyenangkan perhitungan bilangan hadith-hadtih yang sudah beliau pelajari.

Pada permulaan hidup Imam Malik bercita-cita menjadi biduan tetapi ibunya menasihatkan supaya beliau meninggalkan cita-cita itu, dan meminta beliau supaya mempelajari ilmu fiqh, beliau menerima nasihat ibunya dengan baik.

Iman Malik adalah seorang guru yang miskin, pernah satu hari kayu bumbungnya rumahnya telah roboh, terus beliau menjual kayu itu untuk mendapat sedikit wang untuk perbelanjaan hidupnya, tetapi pada akhirnya beliau dimurahkan Allah akan rezekinya sehingga beliau menjadi seorang kaya. Setelah baliau menjadi seorang kaya, beliau memakai pakaian yang mahal dan memakai bau-bauan yang baik. Imam Malik adalah seorang yang aktif dalam menuntut ilmu. Beliau banyak membuat perhubungan dengan ahli-ahli hadith dan ulama.

Imam Malik dianggap sebagai ketua atau imam bagi ilmu hadith. Sanad-sanad (sandararan-sandaran) yang dibawa oleh beliau termasuk salah satu sanad-sanad yang terbaik dan benar. Beliau seorang yang dipercayai, adil dan kuat ingatannya, cermat dan halus memilih rawi-rawi hadith. Pendek kata Imam Malik adalah orang yang tidak diragui dalam konteks ini.

Imam Malik tetap berpegang teguh S.A.W. dalam menganggap hadith-hadith itu petunjuk, penyuluh kepada manusia. Tidak harus seseorang meninggalkan dan membelakangkannya.

Sebelum Imam Malik menjadi guru, beliau lebih dahulu mendalami dalam bidang pelajaran sehingga kadang-kala beliau tidak tidur. Setelah fikiran beliau matang dan benar-benar berkebolehan barulah beliau mengajar.

Hukum-hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik adalah berdasarkan Al-Quran dan hadith. Imam Malik menjadikan hadith sebagai pembantu bagi memahami Al-Quran, Imam Malik sangat cermat dalam memberi penerangan dan hukum-hukum. Beliau berfikir panjang sebelum memberi satu-satu hukum atau fatwa.

Karyanya yang terkenal adalah kitab al-Muwatta’, sebuah kitab hadits bergaya fiqh. Inilah kitab tertua hadits dan fiqh tertua yang masih kita jumpai.

Beliau pernah berkata : “Kadang-kala aku berjaga satu malam suntuk untuk mencari jawapan bagi satu-satu soalan yang dikemukakan kepada aku”. Apabila beliau ditanya satu-satu hukum, beliau terus berkata kepada penanya “Pulanglah dahulu supaya aku dapat berfikir”. Ramai manusia merendah-rendahkan Imam Malik dengan sebab beliau melewatkan menjawab sebarang pertanyaan. Imam Malik menangis dan berkata “Aku bimbang kerana aku akan disoal satu hari nanti dalam ( hari kiamat)”.

 

Mazhab Syafi’e

Mazhab Syafie adalah diasaskan oleh Muhamad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 hijrah, sebuah bandar yang bernama Ghizah di Palestin . Beliau seorang miskin, tetapi kaya dengan semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara dalam menceduk dan menimba ilmu. Imam Syafie dianggap seorang yang dapat memadukan antara hadith dan fikiran dan membentuk undang-undang fiqh. Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang sastera dan syair-syair, tetapi beliau mengubah pendiriannya kepada mempelajari ilmu fiqh dan hadith hingga sampailah beliau ke kemuncak yang paling tinggi dalam bidang tersebut.

Imam Syafie ialah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad yang ke-2 hijrah. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata : diceritakan kepada nabi muhamad S.A.W. bahawa Allah menghantar kepada umat ini seorang pembaharu kepada agama, Umar Bin Abdul Aziz dihantar untuk abad yang pertama dan aku harap Imam Syafie merupakan mujadid abad yang kedua.

Nama asalnya ialah Muhamad Bin Idris, lahir di bandar ghizah di Palestin pada tahun 105 hijrah, inilah tarikh paling masyur dikalangan ahli sejarah. Beliau adalah keturunan Bani Hashim dan Abdul Mutalib. Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah S.A.W. pada datuk Rasulullah iaitu Abdul Manaf.

Semasa muda Imam Syafie, hidup dalam kemiskinan, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang-tulang untuk ditulis di atasnya, terkadang-kadang beliau terpaksa pergi ke tempat-tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya.

Imam Syafie menghafaz Al-Quran dengan mudah, iaitu semasa beliau masih kecil lagi, beliau menghafaz dan menulis hadith-hadith. Beliau sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk tujuan itu beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama dengan puak Hazyal selama 10 tahun. Kerana puak ( kabilah ) Hazyl terkenal suatu kabilah yang paling baik bahasa Arabnya. Imam Syafie banyak menghafaz syair-syair dan qasidah dari puak Hazyl, begitu juga beliau banyak menumpukan masa dan tenaganya kepada sastera dan sejarah pada masa mudanya, tetapi Allah menghendaki dan melorongkan kepadanya dalam bidang ilmu fikah.

Di antara sebabnya, pada suatu hari Imam Syafie bersyair sambil menunggang kuda bersama-sama beliau seorang lelaki. Lalu berkata lelaki itu, tidak sesuai engkau bersyair kerana itu boleh menjatuhkan maruah.

Alangkah baiknya belajar ilmu fiqh? Kata-kata itu sangat memberi kesan kepada Imam Syafie. Dari sejak itu beliau menumpukan masa dan tenaga kepada ilmu fiqh.

Salah seorang guru Imam Syafie dalam pelajaran ilmu fiqh dan hadith ialah Imam Malik. Ilmu fiqh yang dibawa oleh Imam Syafie adalah merupakan satu zaman perkembangan ilmu fiqh dalam sejarah perundangan Islam kerana beliaulah yang menghimpunkan atau menyatukan ilmu fiqh ahli-ahli akal dan fikir dengan ilmu fiqh ahli-ahli akal dan hadith. Ilmu fiqh Imam Syafie juga merupakan ikatan sunnah dan qias, dan pemikiran dengan

beberapa pertimbangan dan sekatan sebagaimana ia juga ilmu fiqh yang menetapkan cara-cara atau peraturan untuk memahami Al-Quran dan Al-Hadith. Juga ia menetapkan kaedah-kaedah pengeluaran hukum dan kesimpulannya. Lantaran itulah beliau berhak dianggap penaja bagi ilmu usul fiqh.

 

Mazhab Hanbali

Nama bagi pengasas Imam Hanbali ialah Ahmad Bin Mohamad Bin Hanbal. Lahir di bandar Baghdad pada tahun 164 hijrah. Ibnu Hanbal adalah dari keluarga miskin, kerana bapanya tidak meninggalkan di waktu matinya melainkan sebuah rumah yang kecil yang didiaminya. Untuk menampung kehidupannya, belaiu terpaksa bekerja di kedai jahit untuk mengambil upah.

Ibnu Hanbal menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau tetap mempelajari hadith sehingga beliau menjadi seorang imam, orang pernah berkata kepadanya: “Sampai bilakah engkau nak menuntut ilmu? Padahal engkau sudah mencapai darjat paling tinggi dan engkau telah menjadi imam bagi seluruh umat Islam?” Imam Ibnu Hanbal menjawab: “Aku menuntut ilmu dari hujung dunia hinggalah ke pintu kubur.”

Memang benar beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Imam Syafie adalah salah seorang dari guru Ahmad Bin Hanbal. Ibnu Hanbal bertemu Imam Syafie semasa di Hijaz, sewaktu beliau menunaikan fardu haji, Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram. Ibnu Hanbal belajar daripadanya, kemudian mereka bertemu pula pada kali kedua di Baghdad, Imam Syafie menasihatinya supaya beliau mengikutnya ke Mesir. Imam Ibnu Hanbal bercadang mengikutinya tetapi niatnya tak sampai.

 

Perkembangan budaya Islam yang pesat pada zaman kegelapan Eropah telah membuka nafas baru kehidupan kepada orang-orang Barat hingga kini. Kertas, bahan yang sangat penting dalam tulisan, kajian atau apa sahaja cabang bidang ilmu sebenarnya di popularkan penggunaannya oleh orang-orang Islam.

 

Memang pada asalnya kertas berasal daripada China, tetapi ia telah di bawa oleh pedagang-pedagang Islam melalui Jalan Sutera dalam kurun ke lapan masehi. Ketika itu kertas merupakan sesuatu bahan yang nipis, ringan dan mudah berlipat. Melalui kebudayaan Islam yang sangat mementingkan ilmu dan juga perdagangan, kertas telah di gunakan dengan meluas di Utara Afrika dan akhirnya sampai ke Eropah.

 

Jarang sekali Islam mendapat kredit terhadap sumbangannya yang telah memberikan pencerahan kepada dunia hari ini. Walaupun pelbagai jurusan keilmuwan di pelopori oleh Muslim, namun masih sukar untuk kita melihat tulisan-tulisan pada buku-buku karyawan Eropah yang mengakui sumbangan dan kejayaan yang di bawa oleh Islam. Sebagai contoh mudah, bagaimana penemuan kertas dalam kebanyakan memang kembali kepada orang China (Kononnya Pencipta Kertas Pertama  adalah Ts’ai Lun)  dan terus di kaitkan dengan keberhasilan orang-orang Jerman pada kurun ke-15 masehi dan Johann Gutenberg yang mencipta alat pencetak. Mereka lupa bahawa kertas merupakan hadiah daripada Muslim kepada mereka dan menidakkan kurun terbaik antara tamadun China dan kurun ke 15.

 

Jonathan M. Bloom seorang professor dalam Islamic and Asian art di Boston College telah mengeluarkan sebuah buku “Paper Before Print: The History and Impact of Paper in the Islamic World” (Yale University Press) yang menceritakan hal yang sebenar dan adil tentang kemajuan bidang penemuan kertas.

 

Kertas yang berasal daripada pulpa kayu yang kering dan di temui secara tidak sengaja dan digunakan sebagai pembalut di China. Selepas beberapa perubahan di lakukan, kertas tadi mula di gunakan sebagai bahan untuk penulisan di pejabat kerajaan dan para ilmuwan. Sewaktu dinasti Tang (618-906M), banyak buku-buku di hasilkan menggunakan kertas-kertas ini.

 

Kaum Muslimin mula menjumpai kertas sewaktu perluasan ke kawasan Asia tengah pada kurun ke lapan masehi. Sejurus kemudian, kilang kertas di bangunkan di Baghdad, dan penggunaan kertas terus tersebar ke Parsi, Syria, Utara Afrika dan akhirnya ke Sepanyol pada kurun ke 10 masehi.

Bila teringat ketika zaman sekolah, pasti akan  teringat subjek yang paling susah untuk diingati. Memerlukan ketabahan yang amatlah tinggi kerana apa yang dipelajari adalah fakta semata-mata. Sampaikan cikgu memberikan keistimewaan untuk menghisap gula-gula bila belajar subjek ni… Subjek apa lagi bukan subjek sejarah.

 

Mesti anda semua akan teringat kembali kisah-kisah, fakta-fakta yang diceritakan mengenai beberapa zaman dalam kamus sejarah. Ya, Zaman Neolotik, Paleolitik, Mesolitik, Zaman Logam dan zaman moden. Adanya kehidupan di zaman purba yang tinggal di dalam gua, mencari makanan di sungai-sungai, menggunakan batu-batan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kemudian bermulalah era kemajuan dimana orang-orang purba ini hidup berkelopok, hidup secara nomad (berpindah-randa) dan tercetuslah era perdagangan dan era modenisasi. Rata-rata fakta mengenai zaman pra-sejarah ini bermula kira-kira 200000 tahun lalu.

 

Baiklah,  bagaimana pula kisah Nabi Nuh a.s yang diceritakan di dalam Al-Quran yang pada zaman itu sudah terciptanya bahtera besar yang dapat menyelamatkan manusia yang mengikut perintah Allah s.w.t dan memusnahkan manusia yang melanggar perintah Allah.

 

Bagaimana pula kisah Nabi Sulaiman a.s dengan seorang raja perempuan yang hebat dalam mengendalikan negeri pemerintahannya (sistem bermusyawarah)  yang digelar Ratu Balqis ? Menurut kisah yang telah dinyatakan seperti di dalam Al-Quran, Ratu Balqis ini tinggal di sebuah negeri yang kaya dan makmur dengan hasil tanaman dan negeri itu dinamakan sebagai  Saba’.  Istana tempat tinggal puteri Balqis yang dinyatakan sungguhlah hebat.

 

Terdapat lagi beberapa kisah yang difirmankan oleh Allah di dalam Al-Quran tentang kehidupan pada zaman para nabi yang boleh di katakan pada zaman tersebut sudah terdapat hasil-hasil binaan yang maha hebat tidak setanding dengan  zaman yang dikisahkan dalam buku-buku sejarah terkini.

 

Jadi, bagaimana pula wujudnya zaman batu, zaman purba ini??  Suatu zaman yang manusia dikatakan “KOSONG”, tidak tahu apa-apa melainkan menggunakan batu untuk menyalakan api, mencari ikan disungai sebagai sumber makanan, menanam tanaman sebagai hasil pertanian.

 

Ketika zaman Rasulullah s.a.w juga baginda telah bijak menggunakan senjata dalam menghadapi beberapa peperangan. Baginda s.a.w telah membina Masjid Quba. Terbinanya Masjid Nabawi dan pelbagai lagi hasil binaan ketika zaman Rasulullah s.a.w.

 

Sehinggalah ke zaman Khulafa Al-Rasyidin yang dinyatakan pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman B Affan dan Saidina Ali  bin Abi Thalib.  Kesemua sahabat baginda hidup bukan seperti di zaman batu. Pada zaman ini sudah adanya sistem pemerintahan berkerajaan.  Bagaimana pula dengan Khulafa’ Ar-Rasyidin, Muawiyah bin Abu Sufian, Khalid bin al-Walid, Ubai bin Kaab dan Zaid bin Thabit. Kesemua mereka ini adalah penulis wahyu dan mereka menulis wahyu nabi diatas kulit kayu, batuan, kulit haiwan dan kain-kain. Ini bermakna pada zaman tersebut sudah terdapat bahasa Al-Quran dan ilmu tulisan.

 

Bagaimankah boleh wujudnya zaman batu padahal pada zaman para nabi cara hidup sudah teratur dan senibina telah wujud? Atau pernahkah manusia selepas zaman khulafa’ Al-Rasyidin dimusnahkan sehingga lahirlah semula manusia ‘baru’ yang hidup seperti di zaman pra-sejarah.  Atau buku sejarah yang membuatkan kekeliruan ini melanda?  waduh waduh……………….

 

Cuba lihat video di bawah, inilah yang kita belajar menerusi buku agama……. Bukan Buku Sejarah..

Sambungan…………

%d bloggers like this: